Tuesday 23 September 2014

Tips Mahir Bahasa Inggeris

Kemahiran berbahasa Inggeris memberikan suatu kelebihan kepada seseorang untuk melangkah jauh di dalam hidup seseorang baik di alam pembelajaran mahupun pekerjaan. Kelebihan berbahasa Inggeris memudahkan sesorang untuk bergaul dengan pelbagai lapisan manusia dari pelbagai negara kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan kebanyakan orang tahu berbahasa Inggeris .

Menguasai subjek Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah adalah penting kerana kanak-kanak lebih mudah diajar dan senang menyerap ilmu yang baru dipelajari. Sekiranya seseorang telah mahir dengan penggunaan Bahasa Inggeris sejak kecil, ia akan memberikan mereka laluan yang mudah untuk mereka menguasai bahasa tersebut di peringkat yang lebih tinggi di masa akan datang.

Di antara tips untuk mahir berbahasa Inggeris ialah membaca lebih banyak bahan bacaan samada buku ilmiah, majalah,novel dan lain-lain di dalam bahasa Inggeris. Sekiranya tidak memahami sesuatu perkataan kita boleh merujuk kepada kamus atau orang yang mahir dalam bahasa tersebut. Jika dipraktikkan selalu, kita akan menjadi mahir dan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih mudah.

Cara lain yang dapat membantu ialah dengan banyak bertutur di dalam bahasa Inggeris dengan keluarga,rakan-rakan dan guru-guru. Semasa kita membuat kesilapan sewaktu bertutur menggunakan bahasa Inggeris, mereka yang lebih mahir dapat memperbetulkan kesilapan yang kita lakukan.

Membuat latihan yang berterusan terutamanya penggunaan tatabahasa yang betul dan cara membuat ayat yang lengkap dapat membuatkan kita lebih menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Kita dapat mengenalpasti kelemahan  kita dan memperbaiki kesalahan yang sering dilakukan. Kita juga hendaklah merujuk kepada guru-guru sekiranya terdapat sebarang persoalan.

Menonton cerita atau mendengar lagu bahasa Inggeris juga dapat melatih kita untuk memahami bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.Semasa menonton cerita bahasa Inngeris, kita mendengar dialog beserta sarikata bahasa Malaysia dan ini dapat membuatkan kita lebih memahami bahasa Inggeris.

Diharap tips-tips di atas dapat membantu adik-adik dan sesiapa sahaja untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.Kita akan lebih berkeyakinan untuk bertutur mahupun menulis di dalam bahasa Inggeris sekiranya kita lebih memahami cara penggunaannya dengan betul.

Friday 19 September 2014

Cara Menghadapi Karenah Pelanggan

Assalamualaikum.

Pengalaman bekerja di bidang perbankan dan pelaburan memberikan saya peluang mengenali pelbagai perwatakan pelanggan. Ada yang mudah mesra dan peramah seolah-olah sudah mengenali kita . Terdapat segelintir yang amat serius dan mudah meninggikan suara hanya kerana masalah yang kecil.

Di sini ingin saya kongsikan beberapa langkah untuk berdepan dengan pelanggan yang agak "cerewet".

1. Jika bertemu dengan pelanggan yang terus meninggikan suaranya, kita hendaklah mengimbangi kemarahannya dengan menjawab segala "leterannya" secara tenang. Kita akan mendapati dia akan perlahan-lahan merendahkan suaranya kecuali jika dia seorang yang "high pic".

2. Langkah seterusnya kita hendaklah cuba untuk menyelesaikan masalah pelanggan tersebut secepat yang mungkin. Ini akan menunjukkan bahawa kita memberikan komitmen yang tinggi untuk menangani masalahnya.

3. Langkah terakhir yang boleh kita lakukan dengan merujuk masalah tersebut kepada pihak atasan. Mungkin pihak atasan mempunyai cara dan tindakan yang berbeza dan dapat mengatasi masalah tersebut dengan lebih professional.

Langkah-langkah di atas dapat dipraktikkan sekiranya kita berhadapan dengan situasi di atas. "Customer is Always Right" (walaupun kita tahu kesilapan tersebut mungkin berpunca dari pelanggan itu sendiri )


Friday 5 September 2014

Entri Pengenalan Diri

Assalamualaikum dan salam pengenalan untuk semua.

Nama saya Rohayu Binti Salleh, dilahirkan di Singapura dan dibesarkan di Johor Bahru.Saya telah berkeluarga dan mempunyai tiga orang cahayamata. Pengalaman tinggal di asrama sejak berumur tigabelas tahun telah banyak mematangkan diri saya dan seterusnya saya meneruskan pengajian hingga ke peringkat ijazah dalam bidang kewangan.

Pada Oktober 1994 saya telah mula bekerja di bidang kewangan selama lima tahun dan di bidang pelaburan saham selama limabelas tahun. Akhirnya saya telah mengambil keputusan untuk menjadi seorang "remisier"kerana saya boleh beroperasi dari rumah dan hanya ke pejabat pada waktu tertentu sahaja.

Bekerja dari rumah membuatkan saya berfikir untuk membuat bisnes kecil-kecilan untuk mendapatkan pendapatan sampingan dan komisyen yang diperolehi sebagai "remisier" ada turun-naiknya.Saya pun mula memasuki kelas-kelas membuat kek/kuih untuk memahirkan lagi skil yang ada.

Saya telah memulakan bisnes kecil-kecilan saya dengan menjual "Creamy Hershey"dan "Mini Red Velvet"  dan permintaan dikalangan anak-anak remaja seperti rakan-rakan anak saya agak menggalakkan berbanding orang dewasa. Mungkin citarasa anak remaja lebih menggemari "desserts" berbanding kuih tradisional. Pada musim raya yang lalu, saya juga telah menjual tat nenas dan sambutan yang diterima juga memberangsangkan (tat nenas dan musim raya tidak dapat dipisahkan).

Semasa proses pencarian bisnes yang betul-betul bersesuaian dengan saya, saya mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) kerana saya memerlukan seorang mentor yang dapat memberikan bimbingan agar saya lebih fokus dengan sesuatu perkara yang dilakukan.Saya juga ingin mempelajari bagaimana untuk membuat blog yang menarik dan padat dengan isi yang berfaedah.

Diharap Cikgu Anys Idayu dan rakan-rakan ABDR dapat memberi tunjukajar dan berkongsi pengalaman agar saya lebih berjaya dalam apa jua yang saya lakukan dengan izin Allah .AMIN...